Tuskudrusla
Suara Warga KL


Thursday, November 22, 2007
SAYA KAGUM DENGAN TUKIMAN - MICHEAL CHONG

JALAN AMPANG – Sikap positif Yang Dipertua Majlis Perbandaran Daerah Hulu (MPDHS) Selangor, Tukiman Nail ketika menerima `anugerah penyapu’ dari Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo seharusnya menjadi ikutan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain kerana anugerah tersebut yang disifatkannya sebagai pencetus inspirasi berupaya memperbaiki tahap prestasi dan perkhidmatan sesebuah organisasi.

`` Tetapi saya kecewa sikap positif beliau itu cepat berubah kerana terpengaruh dengan kritikan pihak lain yang sebenarnya ada agenda tersembunyi,’’ kata Pengerusi Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini semalam.

Katanya, Tukiman adalah seorang yang berkemampuan dan berpotensi untuk meningkatkan prestasi PBT dibawah tanggungjawabnya, cuma dia perlu sokongan padu daripada kakitangan dan masyarakat.

`` Saya tidak nampak anugerah sebegini boleh menjadi `bahan senda’ atau gurauan mana-mana pihak kerana selagi ia baik untuk mempertingkatkan prestasi sesebuah organisasi ia bukanlah masalah besar sehingga boleh dijadikan isu besar.

`` Dan saya percaya niat murni Mohamad Khir adalah baik dan tidak pernah menyimpan dendam dalam hati kerana beliau sememangnya seorang yang telus,’’ katanya.

Justeru, Chong berharap dan yakin bahawa Tukiman tidak akan melepaskan jawatannya dan berusaha membuktikan bahawa dia merupakan seorang yang berkredibiliti mampu mengembalikan prestasi MPDHS.

Minggu lepas, sempena Bulan Kualiti 2007, Tukiman menerima hadiah penyapu daripada Mohamad Khir kerana gagal mencapai sasaran kutipan cukai seperti yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Selangor itu dikritik beberapa pihak termasuk ulama dan kesatuan-kesatuan sekerja yang menyifatkan ia sebagai terlalu hina dan mengaibkan kakitangan awam.

Rentetan daripada itu, Mohamad Khir mencadangkan agar PBT yang gagal memperoleh pencapaian minimum tahun depan diberi kata dua supaya bersara awal atau mengambil VSS.


97 PENGUATKUASA LULUS

KUALA LUMPUR – Seramai 97 anggota pelatih Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima sijil masing-masing dalam satu majlis pentauliahan setelah mereka berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Penguatkuasaan seisi 1/2007 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di sini semalam.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hakim Borhan ketika berucap merasmikan perbarisan penutupan latihan itu, selama empat bulan mereka menjalani latihan tersebut pelbagai ilmu dapat mereka pelajari dan berharap agar ia dapat diaplikasikan dalam tugasan mereka kelak.

`` Saya percaya setelah tamat kursus, mereka cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai penguatkuasa yang berdedikasi dan berusaha ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia.

`` Sungguhpun persepsi orang awam terhadap tanggungjawab penguatkuasa ini seringkali dipertikai, ia tidak bermakna pandangan sedemikian boleh menjatuhkan semangat kita. Apa yang penting jadikanlah ia pemangkin semangat untuk memperbaiki lagi perkhidmatan yang sedia ada,’’ katanya.

Dalam majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah kepada pelatih terbaik yang diterima oleh Mohd Redzuan Mohd Rosli untuk kategori pelatih terbaik keseluruhan dan pelatih kawad terbaik. Manakala untuk pelatih akademik terbaik diterima oleh Zubir Mahadirasat dan Jefferi Pandak penerima bagi kategori pelatih menembak terbaik.

Difahamkan modul kursus tersebut merangkumi pelbagai aspek melibatkan jasmani, rohani dan pelbagai aktiviti berkaitan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kesemua anggota penguatkuasa yang terdiri daripada 92 pelatih melayu, empat pelatih India dan seorang pelatih orang asli mula menjalani kursus tersebut pada awal bulan Julai lepas dan berakhir hari ini.


Misi SSYEAYP di Malaysia berjaya

KERAMAT – Kunjungan selama empat hari oleh 10 buah negara Asia yang terdiri daripada pelajar universiti dan pekerja awam ke ibu negara sejak Ahad lepas berakhir hari ini setelah aktiviti mengenali budaya Malaysia yang diatur oleh Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) kali ke-34 di sini berakhir dengan jayanya.

Program itu yang diadakan setiap tahun sebagai langkah memberi pendedahan kepada para peserta untuk mengetahui budaya Asia disamping memberi galakkan kepada golongan belia terlibat dalam aktiviti sosial yang kesudahannya akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat.


Menurut Ahli Persatuan Bekas Peserta Kapal Belia Asia (KABESA), Fauziah Mohd. Thani, kesemua peserta tersebut akan bertolak pada pukul 4 petang ini di pelabuhan Pulau Indah bagi meneruskan perjalanan seterusnya ke negara Asia lain dengan menaiki kapal.

`` Mereka akan belayar di lautan luas dan menghabiskan baki 52 hari dalam pelayaran untuk singgah di beberapa negara Asia yang lain.

`` Semasa dalam pelayaran, banyak aktiviti menarik dan bermanfaat turut diadakan dalam program yang menyatukan pelbagai budaya Asia ini. Paling menarik ialah, mereka akan diberi peluang menyuarakan pendapat dan berbincang berhubung isu-isu kemasyarakatan di negara-negara Asia,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada jamuan makan malam bersama para peserta di kediamannya di Keramat di sini semalam.

Tambahnya, aktiviti seumpama ini banyak memberi manfaat kepada golongan belia disamping memberi ruang kepada golongan muda meneroka negara luar dan merasai pengalaman menaiki kapal yang disokong sepenuhnya oleh pihak kerajaan Jepun.

`` Jadi kepada golongan belia yang berumur lingkungan 19 hingga 29 tahun anda dialu-alukan untuk membuat permohonan kerana inilah peluang anda untuk menjadi duta kecil negara dengan memperkenalkan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pelbagai budaya yang unik,’’ katanya.

Dalam pada itu menurut peserta Thailand, Sebastian Muench, 22, Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan makmur berdasarkan keramahan masyarakatnya ketika mula-mula berlabuh di negara ini.

`` Pada mulanya saya menyangka budaya Malaysia dan Thailand lebih kurang sahaja tetapi, setelah menyaksikan sendiri keunikan Malaysia, saya begitu kagum dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan hidup dalam suasana harmoni.

`` Sesungguhnya SSEAYP banyak mengajar saya dan memahami sesebuah negara Asia yang kami singgahi,’’ ujarnya.


BERITA BERGAMBAR

PASAR SENI – Juga dikenali sebagai Pasar budaya yang menjadi tumpuan kebanyakan pelancong asing dari luar negara. Tetapi, melihat kepada bangunan usang yang berdekatan dengan kawasan tarikan pelancong tersebut sudah pasti ia mencacatkan pemandangan.


. splat 10:40 PM | Comment



xXxXxXx




Wednesday, November 21, 2007
PENGANGGUR TUNTUT PEMBELAAN SELEPAS DI BELASAH

JALAN AMPANG – Seorang penganggur dari Johor sanggup menunggang motosikal selama empat jam ke ibu negara semata-mata mahu bertemu pengerusi Jabatan Pengaduan Awam MCA (PSCD) untuk meminta pembelaan setelah dia yang dianiaya oleh tiga lelaki merasa trauma dengan kejadian itu di sini semalam.

Mangsa, Soh Chee Keong, 31, berasal dari Tangkak, Johor dikatakan dijerut menggunakan tali oleh tiga lelaki berkenaan sebelum disumbat ke dalam penjara selama empat hari kerana dituduh cuba memecah masuk sebuah rumah di kawasan perumahan sekitar Tangkak pada minggu lepas.

Berikutan insiden itu, mangsa cedera di bahagian leher serta beberapa bahagian badannya selain merasa tertekan.

Datuk Micheale Chong ketika menjelaskan perkara itu berkata, sebelum mangsa dibelasah, Soh yang menunggang motosikal dikatakan berhenti di hadapan sebuah rumah setelah menerima satu panggilan telefon dari rakannya. Namun, dengan tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali juga menunggang motosikal datang ke arahnya untuk mengetahui maksud dia berada di situ.

`` Namun, ketika mangsa cuba menjelaskan perkara sebenar kira-kira pukul 1.10 petang, dia terus diheret masuk ke dalam rumah berkenaan oleh lelaki berusia lingkungan 40-an itu kemudian diikat pada bahagian leher sebelum dihambat dengan hos getah dan diserahkan kepada pihak polis.

`` Dipercayai lelaki tersebut yang turut dibantu oleh dua lagi saudaranya merupakan penduduk di kawasan itu,’’ katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, sebelum dibebaskan polis dua hari lepas, mangsa telah diarahkan oleh pihak mahkamah membayar denda sebanyak RM350.

Namun Soh yang telah berumah tangga dan mempunyai seorang anak begitu kecewa dengan insiden itu hingga dia terpaksa meminta bantuan PSCD bagi menegakkan keadilan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Biro Pengaduan Awam MCA Cawangan Perak, Lim Ping Soon, 27, yang turut hadir pada sidang media itu hari ini, keadaan Soh begitu menyayat hati semasa ditemui semalam.

`` Ketika saya temui, dia sedang memegang sepanduk di ruang legar Wisma MCA sambil menangis seperti anak kecil seolah-olah tidak tahu ke mana arah tujunya.

`` Kemudian dia merayu kepada saya untuk dipertemukan dengan Michele Chong kerana begitu tertekan dengan kejadian yang menimpa dirinya,’’ katanya.


`ULAT' PUDURAYA MASIH TIDAK TERKAWAL

PUDU – Kegiatan `ulat’ di hentian Puduraya masih lagi berleluasa hinggakan ramai penumpang yang mahu balik kampung tertipu dengan pujuk rayu dan tawaran tiket yang dijual mereka.

Tinjauan Sinar harian di kawasan terbabit hari ini mendapati, semakin ramai `ulat-ulat’ ini berkeliaran di luar stesen tersebut bagi mendapatkan mangsa.

Malah, ada diantara mereka menjaja tiket sehingga ke kawasan pusat borong membeli-belah di sekitar ibukota selain berkeliaran di jejantas yang menuju ke stesen LRT Plaza Rakyat.



BERITA BERGAMBAR

JALAN AMPANG – Keadaan perhentian bas yang masih tidak dibangunkan berdekatan bangunan Angkasaraya hinggakan ia banyak menyusahkan banyak pelancong dan penduduk ibukota.


. splat 11:14 PM | Comment



xXxXxXx




Sunday, November 18, 2007
AH LONG PEMUSNAH HARTA AWAM

PUDU – Pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan tegas kepada ejen pemberi pinjam wang kerana kegiatan mereka mempromosi perniagaan masing-masing dengan menjadikan kemudahan awam sebagai sasaran untuk menampal pelbagai poster boleh mencacatkan harta awam itu hingga ada diantaranya cepat musnah kerana sarat dengan bahan pelekat kimia khususnya di pusat bandar.

Gesaan itu dibuat orang ramai kerana hampir keseluruhan kemudahan awam disekitar ibukota dihiasi dengan pelbagai pelekat yang rata-rata daripadanya menawarkan pinjaman lumayan tanpa syarat yang ketat walaupun peminjam sebenarnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurut seorang penjawat awam, Azman Wahid, 33, sikap tidak bertanggungjawab ejen pemberi pinjam itu semakin teruk sejak akhir-akhir ini apabila hampir keseluruhan harta awam kini dihiasi dengan pelekat berwarna-warni yang menawarkan pelbagai pakej pinjaman menarik.

`` Tindakan pemberi pinjam wang tersebut adalah tidak wajar dan saya percaya orang awam pasti bersetuju dengan pendapat saya khusunya mereka yang kerap menggunakan kemudahan disediakan pihak berkuasa ini kerana pelekat-pelekat tersebut `menyakitkan mata’ disamping kurang selesa dengan tawaran-tawaran yang disediakan.

`` Seharusnya mereka ini menggunakan saluran yang betul dan tidak sewanang-wenangnya membuat promosi dengan menjadikan kemudahan awam sebagai tempat mereka menarik lebih ramai peminjam. Ini sudah dikira merosakkan harta benda,’’ katanya ketika di temui Sinar Harian di sini hari ini.

Antara kemudahan awam yang seringkali menjadi sasaran ejen pemberi pinjam ini menampal pelekat promosi mereka ialah, pondok telefon, perhentian bas, lampu isyarat, dan banyak lagi. Paling mengecewakan terdapat juga bangunan yang turut dijadikan `mangsa’ kegiatan tidak bertanggungjawab ini hinggakan keceriaan di bangunan tersebut hilang disamping kelihatan suram.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa tempat di sekitar ibukota khususnya di sepanjang Jalan Pudu, Jalan San Peng, Jalan Bintang, Sentul dan Jalan Raja Laut mendapati tidak ada satu harta awam yang terkecuali ditampal dengan pelekat-pelekat promosi murahan ini.

Paling mengecewakan, rata-rata kemudahan yang menjadi `mangsa’ ejen pemberi pinjam ini untuk menampal pelekat yang tertera nombor telefon mereka ialah pondok telefon dan perhentian bas hinggakan ada di antara harta awam tersebut kelihatan begitu usang dan menjijikan.

Sementara itu Presiden Pemberi Pinjam Wang Berlesen Malaysia, R.C. Veeraseelan berkata, orang awam jangan mudah tertipu dengan iklan-iklan sedemikian kerana kebanyakan tawaran pinjaman seperti itu ditawarkan oleh Ah Long dan bukannya daripada pemberi pinjam berlesen

`` Ini kerana bagi pemberi pinjam berlesen mereka perlu mendapatkan permit atau kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya ingin membuat promosi. Sebaliknya Ah Long mereka sesuka hati membuat iklan termasuk menjadikan kemudahan awam sebagai `mangsa’ mereka.

`` Tambahan lagi kebanyakan pemberi pinjam wang berlesen tidak sesuka hati membuat sebarang tawaran pinjaman kerana banyak syarat yang perlu dipatuhi mereka termasuklah membuat sebarang peniklanan ,’’ katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Veeraseelan yang turut mengutuk perbuatan merosakkan harta awam itu kemudian menggesa PBT dan pihak-pihak bertanggungjawab dalam hal ini untuk segera mencari jalan penyelesaian kerana banyak harta awam kelihatan `usang’ gara-gara sikap tidak bertanggungjawab pemberi pinjam ini.


PEMANDU DEGIL SUSAHKAN ORANG AWAM

KERAMAT – Penduduk merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas kepada orang awam yang meletak kenderaan sesuka hati di tepi jalan hingga menyusahkan pemandu lain memasuki jalan tersebut.

Menurut Rosman Ali, 27, sikap segelintir penduduk yang tidak bertimbang rasa ini bukan sahaj menyulitkan pengguna jalan raya lain malah, boleh membahayakan pejalan kaki yang terpaksa menggunakan lorong tengah yang dihaskan untuk laluan pacuan beroda.

`` Mereka bukan sahaja meletak kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya tetapi menjadikannya seolah-olah tapak pakir sendiri hingga ada yang meletak kenderaan persendirian berhari-hari.

`` oleh yang demikian, kami yang sudah tidak tahan dengan karenah penduduk pentingkan diri ini merayu agar PBT segera bertindak terhadap mereka ini yang berdegil serta melanggar peraturan jalan raya,’’ katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.


BERITA BEGAMBAR

HERET... Pemandu lori ayam di Jalan Chow Kit tidak menyedari bakul yang dipenuhi bulu ayam di seret oleh lori berkenaan hingga bulu ayam tersebut bertaburan di jalan raya.


. splat 2:44 AM | Comment



xXxXxXx




Friday, November 16, 2007
MINTA POLIS SIASAT `MAT FIT' DI FLAT COLUMBIA

KERAMAT – Kehadiran beberapa `mat fit’ di persekitaran `flat Columbia’ yang terletak di Jalan Keramat di sini begitu meresahkan penduduk apabila mereka yang menjalankan aktiviti jual beli dadah di bahagian sudut tangga flat berkenaan dikhuatiri akan mempengaruhi anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.

Ini disebabkan, hampir setiap petang aktiviti haram tersebut seringkali dilihat beroperasi hinggakan anak-anak yang baru balik dari sekolah terdedah dengan gejala yang tidak sihat ini.

Menurut Rosnah, 33, yang enggan dikenali, walaupun dia menetap di tempat lain di sekitar Keramat, namun, setiap hari dia datang melawat kakaknya yang tinggal di salah sebuah rumah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu yang turut dikenali sebagai flat `ganja’ oleh sesetengah penduduk di kawasan tersebut.

`` Pada mulanya saya tidak mengsyaki apa-apa berhubung beberapa lelaki yang sering melepak di kawasan tangga bangunan berusia lebih 33 tahun itu.

`` Tetapi setelah terlihat serbuk berwarna putih pudar dan beberapa ketulan kecil seperti butiran beras saya mula mensyaki sesuatu tidak kena tentang mereka yang cuba menyembunyikan bahan tersebut daripada pandangan umum yang lalu lalang di tangga tersebut,’’ katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan, kegiatan `mat fit’ tersebut sudah lama beroperasi hinggakan flat Columbia begitu popular dikalangan penagih yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkan bahan khayal itu.

Malah, diberitahu oleh ibu beranak tiga itu, terdapat juga pelanggan `mat fit’ berkenaan dari kalangan pemandu teksi yang tidak segan mengambil bekalan dadah walaupun ia boleh membahayakan diri mereka.

`` Sebenarnya dalang kegiatan ini adalah seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 40-an yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

`` Namun begitu, ketika proses jual beli di antara pelanggan yang kadang kala tidak tentu bilangannya, lelaki tersebut akan dibantu oleh beberapa lagi `geng mat fit’ yang juga teman rapatnya,’’ ujar Rosnah.

Tambahnya, cara untuk mengenali identiti `mat fit’ di kawasan tersebut ialah dengan melihat keadaan fizikal mereka yang kurus disamping tingkah laku yang mencurigakan apabila duduk dan mundar mandir sambil menghisap rokok daun di satu sudut tangga flat tersebut.

Maklumat Rosnah itu ada benarnya kerana ketika Sinar Harian datang ke kawasan yang diberitahu, kelihatan dua pemuda berdiri di kawasan tangga dalam keadaan yang mencurigakan seperti sedang menunggu seseorang.

Mereka sangat berhati-hati hinggakan setiap orang yang lalu lalang menggunakan tangga tersebut diperhatikan betul-betul bagi mengelak `pecah lobang’.

Menurut seorang penduduk berdekatan flat berkenaan yang enggan nama dan gambarnya disiarkan, dia sebelum ini tidak mengetahui bahawa flat tersebut mendapat jolokan flat Columbia kerana kegiatan dadah.

Namun, setelah dia diberitahu pemandu teksi yang kerap menghantar penumpang ke kawasan itu barulah dia tahu akan hakikat sebenarnya.

`` Saya ingatkan jolokan Columbia itu sebagai suka-suka tetapi sebaliknya menggambarkan maksud lain.

`` Jadi saya merayu pihak polis segera menyiasat perkara ini kerana ramai kanak-kanak yang kemungkinan terdedah dengan gejala kurang sihat di kawasan perumahan ini,’’ katanya.


BAYAR LEBIH UNTUK KAD `PREPAID' RM5

JALAN PUTRA – Tindakan beberapa pekedai yang `cekik darah’ dengan mengenakan caj lebih untuk kad tambah nilai telefon bimbit kepada orang awam di sekitar ibu kota menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak khusunya pengguna yang merasa tertipu.

Ini kerana kad tambah nilai yang sepatutnya berharga RM5 dikenakan bayaran tambahan oleh pekedai antara RM0.50 hingga RM1 dengan alasan kad tambah nilai minimum tersebut sukar diperolehi.

Menurut Osman Sapian, 25, alasan pekedai tersebut tidak logik kerana mustahil kad tambah nilai minimum itu dikeluarkan sedikit hingga menyebabkan ia sukar diperolehi.

`` Kalau mahu tipu pengguna biarlah berpada-pada. Ini tidak, ibarat kata pepatah penipuan mereka ini diumpamakan sebagai `sudah terang lagikan bersuluh’.

`` Jadi saya cadangkan kepada pengeluar kad tambah nilai minimum RM5 ini, tak payahlah keluarkan lagi edisi tambah nilai ini kalau ada caj tersembunyi. Menyusahkan banyak orang sahaja,’’ katanya.


DIARI KL

Minggu Fashion Malaysia (M-IFW 2007)
Pada: 15 – 18 November
Tempat: Pusat Konvensyen KLCC
Tel: 03-21433098
website: www.m-ifw.com

Kaedah perubatan tradisonal Asia dan Kesihatan wanita
(What Medecine 2007)
Pada: 16-18 November 2007-11-14
Tempat: PWTC

Ekspo ICT Asia
Pada: 20-22 November
Tempat: Pusat Konvensyen KLCC
website: www.acm-expo.com

Konsert Jazz Kumpulan Shionoya Satoru
Pada: 17 – 18 November
Tempat: Pentas Utama, KLPAC
Tel: 03-40479000

Variasari KL akan diadakan
Pada: 18 Nov 2007
Tempat: Dataran Eye On Malaysia

Persembahan drama Peter Pan
Pada: 9-25 November
Tempat: Panggung Sari Istana Budaya
website: www.istanabudaya.gov.my

Konsert Muzik KOTO Jepun
Pada: 30 November – 1 Disember
Tempat: Dewan Auditorium Tunku Abdul Rahman, MTC
Website: www.jfkl.org.my/events/


. splat 11:47 PM | Comment



xXxXxXx





WARGA TUA DIBELASAH HINGGA PATAH TANGAN

JALAN AMPANG – Gara-gara hanya membasahkan depan pintu rumah dengan segayung air, sepasang warga tua teruk dibelasah tiga lelaki India apabila mereka yang keasyikan bermain mercun tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan itu yang dilihat cuba menghalang mereka berseronok di kediaman mereka di Bandar Sunway, Petaling Jaya di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, mangsa, Ah Nap, 55, patah tangan kanan manakala suaminya, Yew Siong, 58, lebam dibahagian mata selepas dibelasah dengan batang penyapu yang diperbuat dari besi selain diterajang dan ditumbuk bertubi-tubi pada 10 November lalu.

Menurut Ah Nap, tindakannya menjirus air di hadapan pintu rumanya itu tidak bermaksud apa-apa sebaliknya ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlakunya kebakaran memandangkan rumahnya berhadapan dengan rumah tiga lelaki bujang tersebut.

`` Tetapi tindakan saya itu disalah erti oleh mereka yang kemudiannya meluru masuk ke dalam rumah sebelum menghambat dengan batang besi hingga menyebabkan tangan saya patah selain beberapa bahagian badan lebam dan terasa perit.

`` Saya faham tujuan mereka bermain mercun ketika itu kerana masih teruja dengan sambutan Deepavali yang telah berlalu tiga hari. Tetapi tindakan mereka itu sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada penghuni di flat perumahan tersebut,’’ katanya ketika hadir pada sidang media di Jabatan Pengaduan Awam MCA (PSCD) di Jalan Ampang di sini hari ini.

Dalam pada itu, batang besi yang digunakan untuk memukul warga tua itu telah bengkok dan akan digunakan sebagai bukti bagi mendakwa lelaki terbabit.

Bagaimanapun jelas Yew pula, dia dan isterinya yang telah menetap lebih daripada 20 tahun di kawasan flat tersebut tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan jiran tetangga.

Namun katanya, kejadian pada malam itu amat memeranjatkan kerana, dia yang baru terjaga dari tidur selepas terdengar kekecohan di ruang tamu rumahnya seolah-olah bermimpi apabila melihat isterinya teruk dibelasah oleh tiga orang pemuda India tersebut.

`` Lantas saya bangun dari katil dan cuba membantu isteri dari tindakan melampau penceroboh-penceroboh tersebut bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku kepadanya.

`` Tatkala itu juga tidak semena-mena satu tumbukan melayang ke muka saya hinggakan penglihatan saya ketika itu berpinar-pinar sambil terasa kehangatan darah yang berceceran keluar dari mata sebelah kiri,’’ jelasnya.

Sementara itu, menurut Pengerusi PSCD, Datuk Micheale Chong, dia telah menghubungi pegawai polis yang menyiasat kes ini dan diberitahu kejadian ini begitu serius dan akan disiasat secepat mungkin.

`` Namun saya diberitahu oleh pegawai polis itu, salah seorang daripada tiga lelaki tersebut tidak bersalah manakala selebihnya masih dijejaki dan akan diambil keterangan mereka tidak lama lagi.

`` Dalam hal ini, saya juga meminta agar mereka yang duduk berjiran cubalah bertimbang rasa dan memahami akan keselamatan jiran lain apabila bertindak melakukan sesuatu. Ini untuk kebaikan bersama juga,’’ ujarnya.


DUA PESAKIT MENTAL HILANG

KUALA LUMPUR – Dua keluarga merayu anak mereka yang hilang secara tiba-tiba sejak beberapa hari lepas pulang ke pangkuan kerana begitu khuatir dengan keselamatan mereka.

Keluarga pertama, Char Ah Lan, 49, yang menetap di Taman Indah, Tampin, Melaka menyedari kehilangan anak perempuannya Tay Yak Ling, 25, pada 20 Oktober lepas iaitu selepas anaknya itu menghantar ketiga-tiga anak kecilnya ke pusat jagaan kanak-kanak.

Namun, menurut Lan, apabila tiba masa untuk menjemput anaknya pada tengahari, anak perempuannya itu yang berhadapan dengan masalah mental tidak datang menjemput mereka ssebaliknya menghilangkan diri sehingga sekarang.

Sementara itu kes kehilangan kedua juga membabitkan pesakit mental berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pembancuh kopi di sebuah kedai makan di Jalan Raja Laut.

Chan Saw Kee dipercayai hilang selepas tersilap mengambil bas menuju ke rumahnya di Jalan Ipoh ketika pulang dari kerja pada pukul 6.30 petang.

Menurut adik Kee, Chan Bin Heng, 44, kakaknya itu masih dalam proses penyembuhan dari penyakit mental.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan dua pesakit mental ini diminta menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi Jabatan Peengaduan Awam MCA di talian 03-21618044.


TOKOH KITA

Nama: Ustaz Abdul Aziz Ismail
Umur: 54 tahun
Jawatan: Pegawai Syariah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Apakah jawatan ustaz sebelum ini.
Sejak dari tahun 90-an lagi saya menceburi bidang pendidikan dan mengajar mata pelajaran fardhu-ain kepada pelajar-pelajar yang ingin mendalami bidang keagamaan. Minat dalam bidang pendidikan sudah sebati dalam jiwa lebih-lebih lagi apabila melihat anak didik saya telah Berjaya. Malah, sehingga kini saya masih lagi mengajar secara sambilan kepada pelajar-pelajar sekolah agama.

Sebagai pegawai syariah badan bukan kerajaan (NGO) apa cabaran ustaz.
Cabaran yang dihadapi memang banyak lebih-lebih lagi jika ia menyentuh soal keagamaan. Pasti ramai yang tidak menyukainya sehingga ada yang tidak mahu mendekati gara-gara tugas ini terlalu berat dipikul. Namun, iatu semua lumrah hidup dan sebagai orang yang telah diamanahkan untuk jawatan ini saya sanggup menerima risikonya.

Nasihat ustaz kepada publik tentang kepunggunaan khususnya dalam konteks Islam.
Setiap perbuatan kita akan diperhatikan oleh Allah S.W.T. Ini merangkumi juga bagaimana kita berurusan dalam kehidupan seharian kita. Justeru, sebelum membuat sesuatu perkara, berfikirlah akan kesannya kepada diri sendiri mahupun masyarakat. Terutamanya apabila ia berkaitan dengan isu halal dan haram.


BERITA BERGAMBAR..

KENANGAN…Hari ini merupakan hari terakhir musim persekolahan untuk tahun 2007. Oleh yang demikian murid Tabika Tunas Wawasan, Taman Teratai tidak melepaskan peluang untuk memahat kenangan bersama guru-guru mereka dan ibubapa sebelum masuk ke darjah satu pada tahun hadapan.


. splat 9:59 AM | Comment



xXxXxXx




Thursday, November 15, 2007
IBU TUNGGAL RAYU BANTUAN AWAM

JALAN KUANTAN – Ibarat `sudah jatuh ditimpa tangga’ begitulah nasib seorang ibu tunggal beranak empat apabila bantuan sara hidup yang diterima dari Jabatan Kebajikan dikurangkan sebanyak 25 peratus hingga menyebabkan dia yang terlantar diatas katil kerana tulang kaki kirinya patah lima hidup dalam kesusahan.

Lebih malang lagi, Habibah Mahmood, 40, yang kini menumpang berteduh bersama anak kecilnya di Pusat Titian Kasih, Jalan Maran beberapa kali diherdik pihak hospital di pusat bandar gara-gara dia tidak mampu menanggung kos pembedahan kakinya yang dianggarkan berjumlah RM4,000 hingga RM6,000 itu sebelum dia dirujuk ke Hospital Klang dua bulan lepas.

Menurut Habibah, dia mengakui kesusahan hidupnya tanpa bantuan orang lain. Ini disebabkan, perbelanjaan untuk menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Klang hampir setiap bulan juga adalah atas ehsan Pusat Titian Kasih. Begitu juga dengan kos persekolahan dan pakaian anak-anaknya.

Katanya, sungguhpun sebelum ini dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan sebanyak RM400 sebulan, ia masih tidak cukup untuk menampung keperluan asas beliau lima beranak. lebih-lebih lagi bantuan itu akan dikurangkan menjadi RM300 oleh Jabatan Kebajikan.

‘‘ Keadaan ini begitu membebankan kami sekeluarga. Kalaulah saya boleh berjalan mungkin ada kelonggaran sedikit untuk saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau paling tidak mencari kerja.

`` Tapi apakan daya, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Sedangkan untuk membuang air saya terpaksa meminta pertolongan anak saya ke tandas,’’ katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Titian Kasih di sini hari ini.

Difahamkan sebelum kejadian malang menimpa dirinya sekeluarga pada bulan Januari tahun ini, Habibah yang berasal dari Muar, Johor ingin menjemput pulang anaknya dari sekolah bagaimanapun dengan tidak semena-mena ketika menunggang motosikal sebuah lori meluru ke arahnya hingga menyebabkan dia koma selama tiga hari di Hospital Muar.

`` Kejadian itu berlaku dengan pantas hingga menyebabkan beberapa inci tulang kaki saya terpaksa dipotong kerana difahamkan ia cedera parah disamping tiga tulang rusuk sebelah kiri patah.

`` Saya datang ke Kuala Lumpur atas nasihat pakar di sana sebelum dirujuk untuk menjalani pembedahan sebanyak lima kali di Hospital Klang,’’ ujarnya.

Oleh yang demikian, Habibah merayu orang ramai supaya menghulurkan bantuan kewangan dan pendidikan kepada anak-anaknya kerana sejak sembilan bulan lepas dia tidak lagi menerima wang yang disalurkan Jabatan Kebajikan disebabkan jabatan itu tidak membenarkan wakil untuk menuntutnya.

Orang ramai yang prihatin dan ingin memberi bantuan atau membuat sebarang pertanyaan boleh menghubungi Habibah Mahmood (019-3089608) atau pengasas Pusat Titian Kasih, Mak Pah (0196455769).


LELAKI TERJATUH DARI TINGKAT 12

SENTUL – Seorang remaja lelaki berusia 26 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap menemui ajalnya selepas terjatuh dari tingkat 12 di sebuah falt perumahan di Taman Dato Senu awal pagi ini di sini hari ini.

Mangsa, Yap Soon Kiat yang cedera teruk dibahagian kepala dan beberapa anggota badan lain ditemui mati oleh orang awam yang lalu lalang dikawasan itu kira-kira pukul 7.45 pagi ini.

Menurut bapa mangsa yang bekerja sebagai pemungut sampah, anak lelakinya itu sebelum ini tidak menunjukkan sebarang keganjilan malah hubungan mereka juga begitu akrab walaupun anaknya itu jarang bercakap dengan mereka.

`` Yap seorang anak yang baik sungguhpun dia amat pendiam berbanding lima lagi adik beradiknya. Malah, malam tadi dia begitu mesra ketika bertemu kami di rumah yang turut membawa teman wanitanya.

`` Saya tidak tahu punca sebenar dia terjatuh malah saya juga kebingungan ketika dihubungi jiran-jiran tentang kejadian menimpa kami sekeluarga ini,’’ katanya.

Timbalan Ketua Polis Sentul Supritanden Zainuddin Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu sambil menyatakan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan teruk di bahagian kepala selepas dia terjatuh dari tingkat paling atas flat perumahan itu.

`` Buat masa ini pihak polis masih menyiasat kejadian ini sama ada ia ada kaitan dengan jenayah atau sebaliknya. Cuma apa yang pasti mangsa menetap bersama keluarganya di tingkat lapan bangaunan tersebut,’’ ujarnya.

Mangsa bagaimanapun kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


SUAMI DAKWA ISTERI JUAL ANAK

JALAN AMPANG – Pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang masih di bawah umur berhubung siapa yang berhak ke atas bayi yang baru berusia tiga bulan terus menemui jalan buntu apabila bapa bayi tersebut mendakwa anaknya telah dijual setelah mendapati ia hilang bersama isterinya.

Dakwaan itu berikutan sebelum ini, bapa saudara isteri suami berkenaan yang baru berusia 18 tahun menyatakan mahu memisahkan dirinya dengan bayi tersebut tanpa mengetahui sebabnya.

Menurut Sow Kien Siong yang mengkahwini Wendy Lim She Wei, 16, tanpa pendaftaran secara sah kelahiran Sow Zhi Kian yang kurang empat bulan selepas mereka mendirikan rumah tangga menjadi rebutan kedua-dua belah keluarga pasangan berkenaan.

Berikutan perebutan itu, isterinya yang enggan melepaskan anak itu kepadanya menuduh dengan pelbagai tuduhan palsu termasuk tuduhan menjual anak.

`` Namun saya menyangkalnya hinggakan a 6 November baru-baru ini kami datang ke abatan Pengaduan Awam MCA (PSCD) untuk membuat perjanjian sambil disaksikan oleh Datuk Micheale Chong bagi memuaskan hatinya.

`` Namun, pada 10 November lepas saya diberitahu bahawa isteri dan anak saya telah dibawa lari oleh pakcik isteri saya tanpa diketahui ke mana mereka pergi,’’ katanya.

Berikutan itu dia terpaksa membuat laporan polis di Balai Polis Sentul kerana mengsyaki anaknya itu dilarikan untuk dijual.


. splat 12:02 AM | Comment



xXxXxXx




Friday, November 09, 2007
IBU RAYU AH LONG HENTI UGUT

JALAN AMPANG – ``Jangan ganggu kami sekeluarga, soal hutang suami saya ia tiada kena mengena dengan kami dan saya tidak akan bertanggungjawab ke atasnya,’’ itulah antara maksud iklan berbayar yang dibuat oleh seorang ibu dalam sebuah akhbar tempatan selepas dia ketakutan diugut oleh empat Ah Long untuk membayar sejumlah wang dipinjam suaminya yang menghilangkan diri di sini baru-baru ini.

Namun, rayuan ibu beranak dua itu, langsung tidak dipeduli oleh keempat-empat Ah Long tersebut hingga awal pagi hari ini rumah wanita tersebut yang kini ditinggalkan kosong disimbah dengan cat bewarna merah sebagai amaran keras hingga menyebabkan rumah jiran sebelahnya kotor akibat terkena tempias cat tersebut.

Menurut Lim Gan Fong, 32, sejak beberapa bulan lepas suaminya Chua Soon Leong yang mengahwininya pada tahun 1999 sudah tidak tinggal bersama dengan dua lagi anak mereka di Kepong.

`` Tetapi Ah Long-ah long tersebut terus menyakat saya dan anak –anak sehingga menyebabkan kami ketakutan dan melarikan diri dari kediaman kami di Kepong.

`` Apa masalah mereka (Ah Long) sehingga saya dibabitkan dalam perkara ini. Sedangkan kalau ikutkan hal sebenar saya tidak tahu menahu akan tabiat suami meminjam wang kepada ceti-ceti haram tersebut lebih-lebih lagi setelah dia menghilangkan diri,’’ katanya ketika membuat aduan di Jabatan Pengaduan awam MCA di Jalan ampang di sini hari ini.

Fong menambah, walaupun dia telah menerangkan akan hal sebenarnya kepada Ah Long-ah long itu tetapi mereka masih enggan menerimanya sehingga memaksa dirinya membuat tempahan iklan dalam akhbar tempatan berbahasa Cina bahawa dia tidak mahu lagi bertanggungjawab dengan hutang-hutang suaminya yang tidak bertanggungjawab itu.

Difahamkan, sebelum ini Fong telah menjelaskan sejumlah RM50 ribu hutang suaminya yang kononnya digunakan untuk tujuan perniagaan. Namun, selang tiga bulan selepas itu, beberapa lagi Ah Longmenghubunginya melalui telefon yang mendakwa suaminya berhutang sejumlah wang dan mahu menuntut bayaran hutang tersebut yang kini mencecah RM100 ribu.

`` Alangkah terperanjatnya saya apabila menerima panggilan itu hingga menyebabkan saya mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah dengan anak-anak bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku kepada kami sekeluarga,’’ ujarnya.

Berikutan itu, pada hari sama dia menerima panggilan telefon tersebut, satu laporan polis dibuatnya di Balai Desa Jaya, Gombak pada 6 November sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu Pengerusi Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michel Chong berkata, trend peminjam wang dari ceti haram kini semakin menjadi-jadi apabila kebanyakan daripada mereka menghilangkan diri setelah gagal menjelaskan hutang-hutang mereka dan membiarkan keluarga sendiri menjadi mangsa ugutan Ah Long.


MERUNGUT PEMANDU BAS TUKAR JADUAL PERJALANAN

PUDU – Susulan rungutan penumpang tentang pemandu-pemandu bas ekspres sesuka hati menukar jadual perjalanan yang didedahkan Sinar Harian sehari sebelum sambutan perayaan Deepavali, orang awam sekali lagi tampil meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan sesetengah pemandu bas tersebut hingga ada yang nekad membuat laporan polis kerana merasa tertipu.

Ini berikutan, sebilangan daripada para penumpang yang datang awal terpaksa menunggu lebih lama lagi kerana diberitahu bas telah penuh dengan penumpang yang menuju ke destinasi sama dengan mereka.

Tindakan tersebut nyata sekali mengecewakan penumpang-penumpang terbabit yang sepatutnya diberi keutamaan kerana tiket yang ada pada mereka dibeli di kaunter dan bukan daripada `ulat-ulat bas’.

Farah Abdullah, 37, yang menghantar ibubapanya di hentian Puduraya sedikit terkilan apabila pemandu bas yang menuju ke Muar, Johor menengkingnya setelah gagal memberi ruang tempat duduk untuk ibubapanya yang sepatutnya berlepas ke Johor pada pukul 2.30 petang.

`` Dia (pemandu bas) marah-marah kepada kami kononnya kami datang lambat padahal hampir dua jam kami menunggu di sini sehingga terlelap dan apabila diberitahu bas untuk ke Muar telah tiba, kami dapati semua tempat duduk telah penuh.

`` Setelah puas memarahi kami, mereka sesuka hati pula menukar jadual perjalanan bas ke pukul 3.30 petang,’’ katanya dengan nada kesal.

Berikutan itu, Farah yang tidak berpuas hati terpaksa membuat laporan polis kerana merasa tertipu.


. splat 12:52 AM | Comment



xXxXxXx




Thursday, November 08, 2007
23 NASIB PENIAGA MELAYUDIHUJUNG TANDUK

JALAN MELAYU – Nasib 23 penjaja Melayu di lorong berdekatan Wisma Kosas ibarat `telur dihunjung tanduk’ apabila mereka yang pada asalnya merupakan peniaga lorong tengah di Jalan Masjid India kini hanya mampu menghitung hari untuk `gulung tikar’ ekoran kekurangan pelanggan yang memasuki lorong tersebut sejak kebelakangan ini.

Kekurangan pelanggan itu disebabkan daya tarikan Masjid India tidak lagi `hangat’ seperti dahulu lebih-lebih lagi lorong Wisma Kosas yang seakan-akan suram tanpa kehadiran pelanggan hingga memaksa sebahagian peniaga di tempat itu menutup gerai mereka hampir setiap hari.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Syed Yusoff, 37, berkata sebelum kawasan berniaga di Jalan Masjid India dinaik taraf beberapa tahun lepas, jumlah pendapatan mereka sehari boleh mencecah sehingga ratusan ringgit tetapi kini mereka tinggal `gigit jari’ apabila pendapatan mereka kini hanya boleh mencapai RM5 hampir setiap hari.

`` Kami sangat kecewa dengan keadaan ini padahal sebelum dipindahkan ke lorong ini pelbagai janji ditabur kepada kami oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

`` Tak tahulah kepada siapa lagi kami harus mengadu walaupun pihak media telah banyak membantu mendedahkan nasib peniaga-peniaga di Lorong Wisma Kosas ini,’’ katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Difahamkan sebelum ini, seramai 60 peniaga Melayu di tempatkan di lorong tengah Jalan Masjid India. Bagaimanapun, tindakan DBKL menempatkan hanya sebahagian daripada mereka di kawasan baru iaitu di lorong Wisma Kosas menimbulkan rasa tidak senang hati peniaga-peniaga kecil Melayu tersebut.

Jelas Syed, dahulu alasan DBKL memindahkan kami ke lorong ini kerana bahagian tengah akan digunakan untuk laluan kenderaan awam tetapi sehingga kini dia tidak pernah melihat kenderaan-kenderaan yang dimaksudkan menggunakan jalan tersebut.

`` Namun yang lebih menyedihkan lagi ialah, 60 peniaga Melayu yang pada mulanya membantah pemindahan itu sebaliknya dalam diam rupa-rupanya mereka menjadi `talam dua muka’. Apa nak dikata dah lumrah orang Melayu macam tu,’’ ujarnya.

Sementara itu menurut Nora Mohd. Nor, 32, DBKL juga ada membuat janji kepada 23 peniaga yang dipindahkan ke lorong Wisma Kosas kononnya pejaja-pejaja haram yang tidak mempunyai lesen akan diambil tindakan sekiranya didapati menjalankan perniagaan di kawasan itu yang dilihat boleh mengancam pendapatan peniaga-peniaga tersebut.

`` Tetapi sehingga kini masalah sama terus berlarutan. Mana janji-janji mereka mahu membela kami,’’ katanya.


TINDAKAN TEGAS SALAHGUNA NAMA KIMMA

JALAN BUNUS – Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) bertegas akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana ahli atau bekas anggota yang sesuka hati menggunakan nama badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi mendapat keuntungan atau meraih publisiti sehingga menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak khususnya media.

Ini berikutan terdapat maklum balas daripada orang awam mengatakan ada pihak sengaja menggunakan nama KIMMA bagi tujuan peribadi hingga kredibiliti badan itu sedikit tergugat kerana kecelaruan mengenai wujudnya satu lagi badan seumpama itu menyebabkan maklumat yang diberi mereka seringkali dipersoalkan.

Presiden KIMMA Kebangsaan, Syed Ibrahim Kader berkata, khabar angin berhubung kewujudan satu lagi KIMMA sudah lama didengarinya. Namun, enggan mengambil tindakan kerana mahu memberi peluang kepada mereka untuk `bertaubat’ atau dengan kata lain berhenti menggunakan nama KIMMA dalam apa jua hal yang ada kepentingan peribadi.

`` Saya tahu siapa dalang yang suka menimbulkan masalah dalam hal ini. Tetapi, sengaja kami senyapkan kerana tidak mahu ahli dalam KIMMA berpecah belah dek kerana perkara kecil ini.

`` Namun, tindakan mereka sejak kebelakangan ini yang semakin mencabar kepimpinan KIMMA sudah melampaui batas. Sebab itu bermula hari ini KIMMA akan mengambil tindakan kepada sesiapa jua yang sewenang-wenangnya menggunakan nama KIMMA untuk menjalankan sebarang aktiviti yang tidak ada sangkut paut dengan KIMMA pada dasarnya,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu di pejabatnya di Jalan Bunus di sini hari ini. Hadir sama dalam mesyuarat tergempar itu ialah wakil-wakil KIMMA dari seluruh negara.

Difahamkan mereka yang dikenalpasti menggunakan nama KIMMA untuk kepentingan peribadi mereka ialah, bekas timbalan KIMMA, dan ahli jawatankusa (AJK) yang dipecat dari badan NGO itu atas sebab disiplin.

Jelas Ibrahim, kedua-dua bekas anggota KIMMA itu langsung tidak mendengar arahan dan lekas bertindak melulu sebab itu keahlian mereka digugurkan.

`` Namun, kini mereka cuba menimbulkan kekeliruan dan bermain sandiwara kononnya mereka adalah KIMMA yang sebenarnya.

`` Jadi saya nasihatkan kepada mana-mana pihak termasuk media jangan terkeliru dengan mereka ini kerana KIMMA tidak akan bertanggugjawab dengan segala maklumat yang disalurkan oleh mereka tanpa pengetahuan kami,’’ ujarnya.


BONGGOL PENYEBAB KERETA ROSAK

SENTUL – Tindakan sesetengah penduduk yang membuat bonggol (bumper) jalan sesuka hati tanpa mendapat kebenaran pihak yang berkuasa menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna jalan raya kerana ia menjadi penyebab banyak kereta rosak.

Menurut Rosli Ahmad, 26, banyak bonggol jalan yang dibuat penduduk di kawasan Sentul terlalu tinggi hingga menyukarkan kenderaan rendah melaluinya.

`` Sungguhpun niat penduduk untuk mengelakkan kejadian langgar berlaku, tetapi biarlah berpada-pada membuat bonggol jalan.

`` Ini tidak sudahlah terlalu tinggi dan menyusahkan pemandu, bonggol tersebut juga menjadi penyebab kereta rosak dek kerana tersangkut.

Oleh sebab itu, Rosli meminta pihak berkuasa segera memantau perbuatan ini yang semakin menjadi-jadi khususnya di kawasan perumahan.

JALAN BUNUS – Sampah kini boleh mejadi sumber pendapatan kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Bagaimanapun, tindakan mereka ini kadanglkala menyakitkan hati kerana sampah yang telah diselongkar dibiarkan bertaburan ibarat `habis madu sepah dibuang’.


. splat 12:26 AM | Comment



xXxXxXx




Image Hosted by ImageShack.us
:Jurnalis:
Rakis Santa – Wartawan Sinar Harian Kuala Lumpur. Mula berkhidmat untuk Kumpulan Karangkraf pada 3 Sept 2007. Sebelum ini, berkhidmat untuk Kumpulan Utusan juga sebagai wartawan pada 16 Jun 2006. Namun terpaksa berhenti dan mendapat tawaran sebagai Eksekutif Perhubungan Awam di sebuah Syarikat Pengangkutan Eksekutif pada 31 April 2007.

:Blog Penulis:
  • Rakissanta
  • u2sun
  • Tongtalun
  • :Tentang Sinar :
    Akhbar Sinar Harian diterbitkan dengan sasaran untuk memenuhi kehendak rakyat di semua negeri. Ada berita/isu untuk disiarkan? SMS kepada Skuad Cakna KL (019-668 0261).

    :Media:

  • Sinar Harian
  • Utusan Malaysia
  • Bernama
  • The Star
  • Malay Mail
  • China Press
  • Sinchew
  • MalaysiaKini
  • H-metro
  • Berita Harian
  • News Stairt Times
  • TV3
  • NTV7
  • RTM
  • TV9
  • Astro
  • Fly FM
  • Hitz FM
  • Era FM
  • :Pengunjung:

    :Arkib:
    August 2004
    November 2007

    :Chat:

    :Bookmarks:
    oggix.com : <a href=http://oggix.com> Free Shoutbox & Complete Blog Tools</a>

    :Kredit:
    Free Image Hosting at www.ImageShack.us

    Locations of visitors to this page

    Made by Tuskudrusla

    Music Codes by SongArea.com